Wednesday, September 25, 2013

Gambar-Gambar Kenangan Semasa KAAMATAN Di Kampung

CORAT-CORET PESTA KAAMATAN

Pesta Kaamatan sebenarnya adalah pesta penuaian padi yang juga dianggap sebagai Hari Kesyukuran. 
Pesta Kaamatan atau nama lain iaitu (Tadau Kaamatan) atau di dalam bahasa Kadazan “Magavau” merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati “Bambazon” iaitu semangat padi. 

Perayaan ini adalah amalan secara tradisi Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman berzaman.
Perayaan “Magavau” ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang dirayakan dewasa ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Menurut cerita lisan, Kinoingan (Tuhan) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. 
Demi menyelamatkan orang-orang Kadazandusun dari kebuluran kerana tidak mempunyai makanan 
yang mencukupi, maka Kinoingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka ini. 
Huminodun dibunuh dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya.

Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu adalah padi. Oleh kerana sebahagian daripada mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama “Bambaazon.” Menarik bukan?

Walaupun masyarakat Kadazan-dusun hari ini telah menganut agama Kristian dan Islam, namun upacara Bambaazon masih lagi diperingati. Hari ini, masyarakat Kadazandusun yang beragama Kristian dan Islam mengambil kesempatan dari Pesta Kaamatan untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta serta menunjukkan rasa kesyukuran terhadap rezeki yang dianugerahkan kepada mereka.
Sesungguhnya kita amat bersyukur dapat hidup dalam sebuah negara yang dipenuhi masyarakat pelbagai budaya, tradisi dan agama, namun masih dapat menikmati kehidupan yang aman harmoni.

_____________________________
Menurut Wikipedia
Pesta Kaamatan atau nama lain iaitu (Tadau Kaamatan) atau di dalam bahasa Kadazan "Magavau" merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang dirayakan dewasa ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama.
Antara sambutan menarik yang diadakan ialah persembahan dan pertandingan tarian Sumazau. Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dipersembahkan dengan iringan paluan gong. Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan.
Selain daripada persembahan tarian Sumazau, diadakan juga pertandingan nyanyian dipanggil Sugandoi, pertunjukan bina badan, dan ratu cantik atau "Unduk Ngadau", dan persembahan segala jenis kesenian dan kraftangan. Pertandingan seperti memukul gong dan sukan rakyat juga menjadi antara acara utama dalam perayaan ini.
Antara hidangan popular semasa perayaan ini ialah meminum tapai atau "Kinomol", iaitu sejenis arak tradisional. Tapai merupakan minuman tradisi mereka, diperbuat sama ada daripada beras (nasi) atau ubi kayu. Nasi akan diperam di dalam sebuah tempayan besar atau "tajau" selama seminggu, atau ubi kayu diperam selama dua hingga tiga minggu. Biasanya tapai dicampur dengan ragi untuk mempercepatkan proses "memberi rasa" kepada tapai tersebut. Makanan tradisional turut disediakan sempena hari tersebut.
Mereka menggunakan sebatang buluh kecil yang dipanggil "Sumbiling" untuk menyedut air tapai ini dari dalam tempayan besar. Biasanya sumbiling digunakan untuk meminum air tapai yang diperbuat daripada ubi kayu. Selain itu, mereka juga menggunakan gelas khas dinamakan "Singgarung" yang diperbuat daripada buluh.

ACARA melastik botol juga kini dijadikan acara tahunan di Kampung Molisau setiap kali Pesta Kaamatan


TETAMU Khas, Datuk Jahid Jahim mencuba nasib dalam acara melastik botol.






SUMANDAK kelahiran kampung ini akan balik ke kampung setiap kali perayaan Kaamatan dijalankan







TAPAI / KINOMOL merupakan sebahagian daripada minuman tradisi masyarakat kaum Kadazan Dusun dalam mana-mana keramaian terutamanya pada perayaan Kaamatan.


Pertandingan Unduk Ngadau Kanak-Kanak
Pertandingan Ratu Puan
GOLONGAN belia turut diberi peluang untuk menjadi penganjur perayaan Tadau Kaamatan.



Setiap kali Kaamatan, Unduk Ngadau merupakan antara yang menjadi acara 'wajib'.


Salah satu acara yang kerap diadakan ketika Kaamatan adalah pertandingan 'Fesyen Kanak-Kanak'

ACARA tarik tali merupakan pertandingan wajib / rasmi setiap perayaan Pesta Kaamatan diadakan di kampung ini.
Artis tempatan Sabah, Benn Simon Bukag, turut sama memeriahkan Pesta Kaamatan di Kampung Molisau.


KALI PERTAMA golongan belia diberi peluang menjadi penganjur Kaamatan diserikan dengan paluan
Togunggak oleh kanak-kanak dari kampung.


Beginilah suasana Pesta Kaamatan di kampung Molisau Tenghilan. Perayaan khas yang dirayakan oleh suku kaum Kadazan Dusun di Sabah ini sudah menjadi kewajipan untuk diraikan setiap penduduk tidak kira tua atau muda, pangkat atau darjat, fahaman politik yg berbeza, warna kulit mahupun agama yang berbeza. Jelas sekali, perayaan ini banyak memberi peluang kepada semua orang untuk saling bersatu-padu, beramah-mesra serta kenal-mengenali antara satu sama lain; dan yg pasti budaya masyarakat tempatan khasnya di negeri Sabah.
___________________________________________

AKTIVITI SEBELUM KEMUNCAK KAAMATAN






ACARA Mamarambot juga antara yang menarik sepanjang Kaamatan.


No comments:

Post a Comment